Saturday, November 24, 2007

Pemuja Penari Podium

Monolog buat Malaikat yang berpakaian oren, yang singgah ke bumi untuk menyanyi ‘Negaraku’, yang menambat retinaku sampai pagi:-

Malam yang aku berbaring kejap melihat kubah mahkamah dibingkai gerbang tajam terpandang aku sedetik pada bintang-bintang. Mungkin dalam kerdipan mereka ada jawapan. Tapi Elentari tak berbicara.

Jadi aku bertanya pada dewi Aphrodite, dewi Parvati bahkan pada diriku sendiri (kerana dewi-dewi humanis direka daripada manusia) -

Apakah nasibku, si Pemuja Penari Podium,

seduduk dengan Muhairi Si Pemuja Punggung Tonggek Pinkie atau Christian si Pemuja Satine The Sparkling Diamond?

Nampak tak persamaannya, bila kata Muhairi, “Punggungmu itu keindahan”

Dan kata pula aku si Pemuja Penari Podium,

“Lehermu wasap-wasap khayal, sehela baunya hilang warasku seribu malam”

Atau bila kata Christian, “Cintamu oksigen”

Dan aku pula mencelah,

”Bibirmu candu, ketagihku tak berpenawar”

(Kalaulah menghisap candu itu berdosa hukumnya, beri, dan berikan lagi aku dosa)

Bohong kalau aku kata aku boleh berikan kau segalanya (macam orang-orang lain sebelum aku.)

(Tapi fikirku dalam gilaku) Lihat tanganku. Lihat apa aku hulurkan-

Pada kau si Penari Podium, boleh aku tunjukkan makna taksub. (this ridiculous obsession with love) Lihat,

Bangun pagiku kerana mahu menatap wajahmu.
Tidur malamku kerana mahu mimpikan kamu.
Cantik rumahku kerana kaulah Balqis yang akan menyinsing kain menyusuri lantai (hilang kegelapan sekian alam).
Gigih kudratku kerana aku mahu belanja kau makan.
Elok lakuku kerana aku mahu masuk syurga berjumpa kamu.
Elok diriku agar aku boleh berdiri sama tinggi denganmu.

(Dan terbayang dalam gilaku)

kita menari atas podium suralayamu sampai mati.





Parvati dan Aphrodite, aku, bahkan kau, masih berhutang jawapan.